Jatuh Ke Laut Menjadi Pulau

Buku “Jatuh Ke Laut Menjadi Pulau” adalah  himpunan koleksi puisi dan sajak lengkap dari Muhammad Haji Salleh, dari Jilid I hingga ke jilid III. Berikut petikan dari  isi kandungan Jilid I.

Di Malaysia orang yang memilih sastera  biasanya dianggap  aneh pada watak dan peribadinya. Tetapi lebih aneh lagi sekiranya dia memilih puisi. Logika pemilihan ini selalunya berada di luar fikiran akal sihat pemerhati umum.  Kerana hampir tiada pendapatan yang diandalkan atau  yang boleh dikutip daripadanya. Kalau untuk menyara hidup dari royalti dan honorarium – maka wangnya juga tidak `royal’ dan tidak memperlihatkan `honor’ sama sekali dan sekiranya saya merujuk kepada kes sedih saya sendiri –  jikalau  dijumlahkan  seluruh pendapatan puisi yang saya terima sehingga kini  – mungkin tidak pun dapat menyara  saya lebih daripada 2 bulan. Jadi saya sudah meninggal, kelaparan,  68 tahun yang lalu. Oleh itu saya amat bersyukur mempunyai kerjaya akademik yang dapat menyara dengan gagasan, perbahasan dan persidangan dan tidak lupa, juga dengan nasi lemak, gulai umbut pisang, sambal petai dan dangai serta serabai.

Di pihak yang lain saya dihadihakan sebuah syurga bahasa, keindahan muziknya, dan renungan terhadap kehidupan yang tidak mungkin didapatkan dari bentuk-bentuk lainnya. Kekayaannya berbentuk mujarad, dan bahagianya luar dari garis kebiasaan.

Dunianya luas, seluas kehidupan, di mana kita dibenarkan menjadi ahli falsafah, sejarawan, seniman, tukang bahasa, ahli muzik dan juga perenung takdir, pemikir rohaniah serta tukang cerita.

Kata Aristotle, (384 SM-322 SM), yang mendefinisnya dengan membanding puisi (dalam maksud sastera) dengan sejarah,

Poetry is finer and more philosophical than history; for poetry expresses the universal, and history only the particular.

Tetapi sebenarnya kita juga dibenarkan yang `particular’, yang unik pada diri dan situasi. Inilah ghairah yang jarang difahami pembaca, ahli politik atau pun kontraktor.

Dunia  puisi sering padat, intens dan memekatkan pengalaman manusia. Pada saya novel kurang kental dan mengambil waktu yang terlalu lama menyampaikan penemuannya; cerpen juga menyerupa sifat-sifatnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *