Melayu Baru

melayu baru

kumasuki lif menara,

kerana dibawa kerja luar,

bising aneh menerkam telingaku –

tiga patah kata melayu

sebelas kata inggeris sebutan ganjil,

ketawanya berdengung kampung

jenaka masih berplot desa

namun dia bergerak dalam sepatu mahal

dibeli di jualan murah oxford street.

 

ini bukan duniaku?

atau duniaku diambil alih

pelancong budaya

atau pelancong oxford street?

 

aku hampir pitam

lalu bergegas keluar,

biarlah  aku memanjat tangga

daripada darah memanjat kepala.

 

setelah tiba

kuketuk pintu yang dituju.

pintu dibuka setiausaha muda

dan berpipi kosmetik eropah.

`tuan is waiting for you,

please come in, encik.’

 

aku masuk, sekali lagi,

perasaanku beralih melancong

ke negara dalam mimpi ngeri.

dia memantau aku,

dan berkesimpulan

bahawa walau aku cukup tua,

tidak mungkin bermakna besar,

dengan capal dan baju  batik,

(tanda  pengusaha felda, pada fikirnya),

bagaimana mungkin hujahnya dipentingkan.

 

mungkin juga dia  merasa aku dari dunia lama

dengan bahasa aneh –

kekurangan kata antarabangsa

yang boleh mempamer lengkung global.

tapi  aku bicara juga,

terasa ada suatu jendela mewah

ditarik didepan fikirannya,

maka suaraku melanggar baldu telinganya.

 

akhirnya aku bercakap

dengan mejanya,

tentang budaya dan sastera

yang menjadi hati untuk bangsa,

tapi kataku

jatuh ke permaidani parsi.

 

setelah selesai dan aku pulang

dimurungkan jengkel dan kecewa.

 

di pertengahan jalan aku bertemu teman lama,

sekali ini wanita,

pangkatnya tinggi

sekurang-kurang di kartu

dan  papan nama.

masih cantik dia,

bertudung mahal,

dagunnya bertingkat

seperti pangkatnya –

ketawanya melengking

`how have you been,  mat?’

long time no see?’

`kabar baik, datin, terima kasih.

datin pula apa kabar?

nampak di tv saja bincang pasal tentang traktor

dan hartanah?’

 

seperti pengusaha sebelumnya

dia memantau aku,

sedikit lebih halus,

diukur watakku dengan dindingnya

bajuku pada jendelanya

dan capalku dengan

kasut bally golok budak pejabatnya.

 

`when are you  turning to business?

`saya tak pandai berniaga,

kira duit pun isteri yang melakukannya.

tulis esei dan sebuah dua sajak

saya bolehlah.

adakah tempat orang macam saya

dalam syarikat datin ?’

 

Melayu Baru

dia senyap serta merta?

`in fact we have too many

employees at present!

katanya sedikit ngeri.

 

aku meninggalkan sisa kopi

di cerek elektrik

dan masuki lif kembali

untuk pulang

ke kampung melayu lama.

 

di sana pelajar menerkamku menanya markah,

kerjaku dititah melalui surat,

ceramah dan seminar diminta segera.

teman mengeluh tentang pelajarnya

-bakal melayu baru –

 

namun

nama bangsa harus dijaga

sementara hayat mengasuh hasrat.

 

aku  mencatat

pada urat kertas

perit dan  perah kecewa

dan mengguris lakar

kacau melayu baru

dan melayu lama.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *